Penyakit Lelah (Asma) dan Kaitannya dengan COVID-19

Pengarang:

Suhana Ahmad1, Tengku Ahmad Damitri Al-Astani Tengku Din2, Sabarisah Hashim3, Rohimah Mohamud1

1Jabatan Imunologi, 2Jabatan Patologi Kimia, 3Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan

Pengarang Koresponden:

Dr Rohimah Mohamud

Pensyarah, Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan,

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan

Emel: rohimahm@usm.my

Pendahuluan

Artikel pendek ini membincangkan tentang penyakit COVID-19 dan kesannya kepada penghidap penyakit lelah atau asma. Setakat artikel ini ditulis, pesakit asma masih belum dapat dipastikan lagi sama ada mereka berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 atau tidak. Namun, pesakit asma terutamanya dalam kalangan kanak-kanak didapati kurang berisiko serta mempunyai prognosis yang lebih baik. Seperti yang telah diketahui, gejala penyakit COVID-19 yang biasa berlaku adalah demam, batuk kering dan penat. Gejala penting yang lain adalah seperti sakit badan, sakit tekak, cirit- birit, mata merah, sakit kepala, kehilangan deria rasa atau bau dan ruam pada kulit, atau perubahan warna pada jari tangan atau jari kaki. Gejala serius COVID-19 ialah kesukaran bernafas atau sesak nafas, sakit atau tekanan di dada dan kehilangan pertuturan atau pergerakan. Peratusan pesakit COVID-19 mengalami gejala sukar bernafas adalah sangat tinggi, dan gejala yang lebih teruk telah dikaitkan dengan perembesan sitokin yang banyak, khususnya IL-6, dan kematian boleh berlaku akibat kegagalan paru-paru.

Kaitan antara COVID-19 dan penyakit lelah

Terdapat beberapa perbezaan data mengenai sama ada pesakit asma mempunyai risiko yang lebih rendah untuk dijangkiti atau menyebabkan komplikasi serius akibat daripada penyakit COVID-19 tetapi setakat ini tidak ada maklumat mengenai kesan sebenar SARS-CoronaVirus-2 (SARS-CoV-2); virus penyebab COVID-19 ini terhadap pesakit asma. Secara teori, pesakit asma mempunyai lebih potensi untuk dijangkiti COVID-19 dan lebih berisiko untuk mendapat komplikasi serius memandangkan sistem imun mereka yang telah terjejas oleh asma. Namun, data menunjukkan sebilangan besar mereka yang dijangkiti akan menghidap penyakit ringan hingga sederhana dan pulih tanpa dimasukkan ke hospital.

Berdasarkan kepada laporan terkini dari Amerika Syarikat menunjukkan bahawa penyakit asma lebih kerap berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa dengan COVID-19 ringan hingga teruk daripada sebelumnya yang dilaporkan di Asia dan di Eropah, tetapi kelazimannya tidak lebih tinggi daripada yang dijelaskan pada populasi yang sama. Namun, laporan berkenaan tidak menyebut tentang potensi komorbiditi lain seperti obesiti sebagai salah satu faktor risiko untuk penyakit asma, yang dikenal pasti sebagai faktor risiko untuk COVID-19. Beberapa laporan dari China yang merupakan negara pertama yang mencatatkan kes COVID-19, melaporkan bahawa kejadian penyakit asma dalam kalangan pesakit COVID-19 adalah rendah. Data-data ini mempersoalkan tentang kaedah mengenal pasti ciri-ciri penyakit asma yang boleh dikaitkan dengan faktor risiko COVID-19.

Terdapat beberapa faktor risiko yang signifikan untuk morbiditi dan kematian COVID-19, terutamanya pada golongan warga emas, seperti penyakit tekanan darah tinggi dan jantung, gangguan metabolik (obesiti dan diabetes), dan penyakit sistem pernafasan. Walaupun diketahui bahawa virus pernafasan adalah salah satu penyebab yang paling biasa untuk berlakunya asma, didapati tidak semua virus ini memberi kesan yang sama kepada pesakit asma. Rhinovirus yang menyerang manusia telah dikenal pasti sebagai penyumbang yang memburukkan lagi keadaan pesakit asma, tetapi tidak seburuk kesan yang disebabkan oleh coronavirus.

Berkaitan dengan wabak SARS yang berlaku sebelumnya, pesakit asma, khususnya kanak-kanak, kelihatan kurang terdedah kepada jangkitan coronavirus; maka kadar serangan asma yang dijelaskan adalah rendah dengan prognosis yang baik. Sebaliknya, semasa wabak flu influenza berlaku, kes pesakit asma lebih teruk sehingga ada yang memerlukan alat bantuan pernafasan, termasuk pesakit asma dalam kalangan kanak-kanak. Tiada siapa yang mengetahui mengapa ia berlaku, tetapi ia telah disahkan bahawa semasa pandemik coronavirus berlaku, kanak-kanak yang menghidap asma mempunyai prognosis yang lebih baik berbanding pesakit dewasa. Penjelasan yang terbaik ialah berkaitan dengan sistem pertahanan dalam kanak-kanak; seperti ekspresi enzim penukaran angiotensin 2 (ACE2) yang berbeza, memori kekebalan semula jadi dan bilangan limfosit yang tinggi pada kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan SARS-CoV-2, melekat terutamanya kepada reseptor ACE2 yang banyak terdapat di paru-paru, jantung, saluran darah dan usus.

Satu kajian pesakit asma dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan ekspresi ACE2 yang paling rendah pada mereka yang mempunyai tahap alergi yang tinggi. Ini menjelaskan mengapa tahap bahaya COVID-19 pada pesakit asma dalam kalangan kanak-kanak adalah kurang memandangkan ACE2 berfungsi sebagai reseptor pelekatan untuk SARS-CoV-2.

Selain itu, memandangkan kemasukan sel virus juga bergantung pada pelekatan protein S dengan transmembrane protease serine 2 (TMPRSS2), terdapat beberapa bukti awal dari Program Penyelidikan Asma Teruk-3 (SARP-3), yang mengaitkan terapi kortikosteroid berupaya dalam merendahkan ekspresi gen ACE2 dan TMPRSS2 dari sampel kahak pesakit. Walaupun ekspresi gen ACE2 dan TMPRSS2 tidak menunjukkan perbezaan antara pesakit asma dan orang yang sihat, laporan berkenaan mengatakan bahawa lelaki, bangsa Afrika Amerika, dan pesakit dengan diabetes mellitus mempunyai ekspresi ACE2 dan TMPRSS2 yang tinggi pada sel kahak mereka yang boleh dikaitkan dengan prognosis yang buruk ketika dijangkiti dengan SARS-CoV-2.

Dong et al. yang mengkaji sebelas kes pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, menunjukkan profil klinikal yang berbeza antara pesakit yang tidak menunjukkan gejala dan juga yang bergejala ringan hingga yang bergejala teruk. Kajian ini juga menunjukkan pesakit COVID-19 dengan penyakit alahan biasa, seperti rhinitis atau dermatitis atopik, tidak mengalami gejala COVID-19 yang teruk, di mana Dong et al. mencadangkan bahawa sistem imun terperoleh jenis 2 (Th2-skewed immune response) berperanan sebagai pelindung dalam patogenesis COVID-19. Semasa wabak ini, seseorang yang menghidap asma lebih

berkemungkinan untuk mendapat serangan asma disebabkan oleh pencetus lain, termasuk alergen atau pendedahan virus lain. Walaupun pemahaman kita tentang coronavirus dan asma masih kurang, tetapi sangat penting bagi pesakit asma dan penyakit alahan lain meneruskan pengambilan ubat pengawal mereka, yang terdiri daripada steroid yang disedut hingga ke rawatan biologik, termasuklah imunoterapi alergen. Pelarasan dos kendiri atau pemberhentian ubat boleh menambahkan risiko keterukan asma, meningkatkan penggunaan steroid sistemik dan kebarangkalian kemasukan ke unit kecemasan atau wad yang seterusnya menjadi faktor risiko kepada pendedahan dan penyebaran coronavirus.

Penutup

Walaupun beberapa vaksin COVID-19 telah diluluskan dah dipasarkan, pengedaran vaksin ini dilakukan mengikut keutamaan bermula daripada golongan berisiko tinggi iaitu petugas kesihatan dan warga tua. Tambahan pula, data yang menunjukkan tahap risiko atau perlindungan dari COVID-19 dalam kalangan pesakit asma masih sedikit dan tidak ada data kuat untuk menyokong rawatan asma sebagai perlindungan terhadap COVID-19. Sehingga lebih banyak maklumat diperolehi dan vaksin diedarkan secara meluas, doktor dan pesakit disarankan untuk terus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan yang juga merangkumi pengurusan pesakit COVID-19.

Senarai rujukan:

Brough HA et al. Managing childhood allergies and immunodeficiencies during respiratory virus epidemics – The 2020 COVID-19 pandemic: A statement from the EAACI-section on pediatrics. Pediatr Allergy Immunol 2020; doi:10.1111/pai.13262

Dong X et al. Eleven faces of coronavirus disease 2019. Allergy 2020; 75:1699-1709

Garg S et al. Hospitalization Rates and Characteristics of Patients Hospitalized with Laboratory-Confirmed Coronavirus Disease 2019 – COVID-NET, 14 States, March 1-30, 2020. MMWR Morb Mortal Wkly Rep 2020; 69:458-464

Global Initiative for Asthma 2020 GINA Report, Global Strategy for Asthma Management and Prevention 2020

Halpin DMG, Faner R, Siblia O, Badia JR, Agusto A. Do chronic respiratory diseases or their treatment affect the risk of SRAS-CoV-2 infection? The Lancet Respiratory Medicine 2020; 8:436-438

Jackson DJ el al. Association of respiratory allergy, asthma, and expression of the SARS-CoV-2 receptor ACE2. J Allergy Clin Immunol 2020; 146:203-206 e203

Peters MC et al. COVID-19-related Genes in Sputum Cells in Asthma. Relationship to Demographic Features and Corticosteroids. American J Respir Critic Care Med 2020; 202:83-90

Wu Z, McGoogan JM. Characteristics of and Important Lessons From the Coronovirus Disease 2019 (COVID-19) Outbreak in China: Summary of a Report of 72314 Cases from the Chinese Center for Disease Control and Prevention. JAMA 2020; doi:10.1001/jama.2020.2648

Zheng SY et al. Epidemiological analysis and follow-up of human rhinovirus infection in children with asthma exacerbation. J Med Virol 2018; 90:219-228

Cetak